suria

Chong Wei Tuntut Pasukan Negara Tebus Kegagalan Piala Sudirman

Jaguh Badminton Negara Datuk Lee Chong Wei (belakang, tiga, kanan) bersama skuad negara bergambar kenangan sebelum berlepas ke Dongguan, China untuk menyertai Kejohanan Piala Sudirman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu. Turut hadir Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen (belakang, dua, kanan).

SEPANG: Pasukan badminton negara mesti memberi komitmen penuh pada Kejohanan Piala Sudirman yang bermula Ahad ini bagi menebus kegagalan skuad negara dua tahun lepas, kata ketua pasukan Datuk Lee Chong Wei.

Jaguh badminton negara itu yakin gandingan pemain lama dan baharu bagi edisi kali ini di Dongguan, China mampu memperkuatkan semangat pasukan untuk layak ke suku akhir pada kejohanan itu nanti.

Selaku ketua pasukan, Chong Wei berkata beliau akan berusaha mendapatkan mata pertama sebagai suntikan semangat kepada pasukan memberi kemenangan dalam perlawanan itu nanti.

"Sebelum ini kita pernah bincangkan, sama ada saya menang atau kalah, pasukan tidak boleh putus asa. Piala Sudirman adalah acara berpasukan campuran.

Secara peribadi semestinya saya akan memberi yang terbaik dan mata pertama untuk pasukan adalah penting.

"Saya yakin skuad negara mampu mengulangi kejayaan pada Piala Thomas tahun lepas... sebab kali ini adalah 'mixed team'. Saya harap pemain muda dapat menunjukkan kemampuan mereka," katanya kepada pemberita sebelum beliau dan pasukan badminton negara berlepas ke Dongguan, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Malaysia berada dalam kumpulan 1D dijadualkan menentang Korea Selatan pada Ahad ini seterusnya bertemu India pada keesokan harinya. Piala Sudirman berlangsung selama tujuh hari.

Ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada kejohanan dwitahunan itu, skuad badminton negara tersingkir awal pada perlawanan peringkat kumpulan yang diundi bersama Jerman dan Taiwan.

Chong Wei berkata beliau yakin dengan kehadiran Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen banyak memberi pembaharuan dalam sistem kejurulatihan skuad badminton negara.

"Pasukan kali ini baharu dan kuat, skuad negara ada peluang ke suku akhir.

Setiap pemain perlu memberi aksi cemerlang untuk pasukan," katanya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu juga menjangkakan pertembungan sengit dengan pemain perseorangan dari Korea Selatan, Son Wan Ho yang kini menduduki ranking kelima dunia.

"Saya mungkin akan menentang Son Wan Ho. Prestasi beliau semakin baik, tetapi saya tidak fikir siapa pesaing saya... yang penting adalah diri sendiri perlu fokus untuk menang," katanya.

Chong Wei akan mengetuai cabaran negara pada Piala Sudirman bersama-sama Cheam June Wei dalam acara perseorangan lelaki; Tee Jing Yi dan Lim Yin Fun (perseorangan wanita); V Shem/Wee Kiong dan Teo Kok Siang/Mak Hee Chun (beregu lelaki); Vivian/Khe Wei dan Amelia/Fie Choo (beregu wanita) dan Chan Peng Soo/Goh Liu Ying dan Wong Fai Yin/Chow Mei Kuan (beregu campuran).-- Bernama


Artikel Lain