BEKAS bintang Brazil, Pele, 74, dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam tempoh enam bulan. Jurucakap Hospital Albert Einstein mengesahkan Pele berada di hospital tersebut tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya. Seorang pembantu kepada Pele tidak boleh dihubungi buat masa ini. Portal berita tempatan Globoesporte memberitahu Pele menjalani pembedahan pada Selasa selepas menghidapi penyakit pembengkakan prostat yang meningkatkan risiko jangkitan kencing kotor. Portal tersebut bagaimanapun tidak memetik sebarang sumber. Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, dibenarkan keluar dari hospital yang sama pada awal Disember lalu selepas dimasukkan ke dalam wad selama dua minggu kerana mengalami masalah buah pinggang. Pele merupakan legenda bola sepak dunia selepas menjaringkan lebih 1,280 gol sepanjang kariernya.