KEPUTUSAN seri 2-2 yang dicatatkan Real Madrid ketika menentang Valencia di Santiago Bernabeu, awal pagi Ahad menjadikan Barcelona hampir meraih gelaran juara Liga Sepanyol yang akan berlangsung minggu depan. Barcelona yang menundukkan Real Sociedad 2-0 diiringi keputusan seri Madrid ke atas Valencia membuatkan Barcelona kini mengumpul 90 mata dan unggul empat mata di atas Madrid yang berada di tempat kedua. Dengan perbezaan empat mata, Barcelona berpeluang menyudahi persaingan perebutan gelaran juara La Liga dengan syarat, Barcelona harus mengalahkan tuan rumah Atletico Madrid di Vicente Calderon pada perlawanan seterusnya. Perlawanan seterusnya dilihat penting dan unik kerana Madrid dijadualkan bertemu Espanyol. Jika Atletico mengalahkan Barcelona, maka mereka turut membantu menghidupkan peluang untuk Real Madrid meraih gelaran juara. Sekiranya Espanyol mengalahkan Madrid, ia bererti 'memberi' hadiah gelaran La Liga pada Barcelona, walau apa pun keputusan diperoleh Lionel Messi dan rakan-rakannya terhadap lawan mereka, Atletico. Berdasarkan rekod, Barcelona pastinya bakal diberikan cabaran sengit oleh Atletico. Dari lima pertandingan terakhir di Vicente Calderon, Barcelona menang dua kali, seri dua kali, dan kalah sekali. Sementara itu rekod Madrid di markas Espanyol lebih meyakinkan. Dari lima pertandingan terakhir di Cornella-El Prat, Madrid menang empat pertandingan dan seri sekali. "Kami menyadari bahawa peluang kami untuk meraih gelaran juara La Liga bakal lebih berat dibandingkan sebelumnya," kata pelatih Madrid Carlo Ancelotti merujuk dua baki perlawanan dalam liga.