KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita nombor tiga Malaysia, Delia Arnold gagal meneruskan aksi cemerlang dalam Kejohanan Terbuka British 2015 apabila terkandas pada saingan separuh akhir di Arena Hull, England, Sabtu. Menurut laman web rasmi kejohanan, http://allambritishopensquash.com, pemain nombor 29 dunia itu tersingkir di tangan pemain Perancis, Camille Serme dalam straight set 11-3, 11-7 dan 11-6 pada pertarungan selama 33 minit. Bagaimanapun, mara ke separuh akhir merupakan pencapaian terbaik Delia selepas melepasi pusingan kelayakan untuk ke undian utama kejohanan. Pemain berusia 29 tahun itu melakukan kejutan di undian utama apabila menyingkirkan pemain nombor tiga dunia dan pilihan kelima, Alison Waters dari England pada pusingan pertama, Selasa lepas. Pada pusingan kedua, Delia meneruskan peranan sebagai 'pembunuh gergasi' apabila menumpaskan pilihan ke-11, Annie Au dari Hong Kong. Pada Jumaat, Delia melakukan kejutan apabila mara ke separuh akhir dengan mengalahkan pemain nombor dua dunia, dari Mesir, Raneem El Weleily 4-11, 16-14,10-12, 11-6 dan 12-10 pada saingan suku akhir.