KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia dari Malaysia, Datuk Nicol Ann David mara ke separuh akhir pada Kejohanan Terbuka British 2015 selepas menewaskan pemain tuan rumah, Sarah-Jane Perry di Airco Arena Hull, England pada Jumaat. Nicol, pilihan utama kejohanan mengambil masa 46 minit untuk memenangi perlawanan suku akhir berkenaan dengan straight set 11-6, 11-8 dan 12-10. "Saya rasa saya telah bermain dengan baik hari ini. Saya bertindak dengan penuh tenaga dan tepat. Sarah-Jane adalah seorang lawan yang sukar..gembira untuk mencatat kemenangan straight set. "Pada set ketiga, saya tidak mahu mengalah dan saya benar-benar mahu mara ke separuh akhir. Jadi saya terus berjuang sepanjang perlawanan," kata Nicol sebagaimana dipetik dalam laman web rasmi kejohanan http://allambritishopensquash.com. Terdahulu, dalam kejohanan sama, pemain nombor tiga Malaysia, Delia membuat sekali lagi kejutan apabila menyingkirkan pemain pilihan kedua Raneem El Weleily dari Mesir dengan 4-11, 16-14, 10-12, 11-6 dan 12-10 dalam masa satu jam sembilan minit untuk mara ke separuh akhir.