suria

Kelantan Umum 24 Mei Cuti Peristiwa Sempena Final Piala FA

KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob hari ini mengumumkan Ahad, 24 Mei sebagai cuti peristiwa bagi negeri Kelantan bersempena perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan wakil Singapura Lions XII.

Beliau berkata, cuti itu bagi memberi kemudahan kepada anak-anak Kelantan untuk pulang ke negeri ini dengan selesa dan tidak tergesa-gesa selepas menyaksikan perlawanan akhir itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Pihak kerajaan negeri Kelantan sangat mengutamakan aspek keselamatan para penyokong pasukan bola sepak Kelantan yang akan hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA musim 2015 edisi ke-26 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei (Sabtu) nanti.

"Jaga keselamatan di jalan raya dan jangan berlumba-lumba untuk cepat sampai memandangkan ruang masa masih panjang untuk perjalanan pulang," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beliau juga menasihatkan para penyokong dari Kelantan dapat membawa semangat kesukanan yang tinggi ketika menonton perlawanan tersebut.

"Harapan saya agar penyokong Kelantan dapat membawa roh riadah dan bersukan secara sihat tanpa terlibat dengan sebarang pelanggaran etika dan insiden yang tidak bermoral," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menaruh harapan agar pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors dapat mempersembahkan aksi yang mantap pada perlawanan akhir nanti dan seterusnya menjuarai Piala FA musim ini.

Kelantan, juara pada 2012 dan 2013, meraih kemenangan selesa 3-1 pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, malam tadi untuk mara ke pentas final buat kali kelima dengan agregat 3-2.-- Bernama


Piala FA, Kelantan, cuti peristiwa

Artikel Lain