PENYERANG Liverpool, Raheem Sterling telah dicemuh dan diejek oleh penyokong kelab itu ketika dianugerahkan pemain terbaik The Kop. Perkara itu berlaku berikutan Sterling menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Anfield pada akhir musim ini dengan menolak tawaran lanjutan kontrak. Penyerang berusia 20 tahun itu yang dianugerahkan pemain muda terbaik musim ini pada mulanya diberi tepukan sederhana ketika berjalan ke pentas untuk menerima penghormatan berkenaan. Sterling bersama teman wanitanya, Paige Milian ketika hadir pada majlis anugerah tahunan Liverpool. Bagaimanapun ketika menyampaikan ucapan penerimaan anugerah, Sterling telah diejek dan dicemuh oleh beberapa penyokong yang hadir. "Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakan sepasukan," katanya sebelum berjalan ke tempat duduk sambil sekali lagi menerima cemuhan daripada penyokong. Sterling kemudian terus diejek apabila namanya disebut untuk pencalonan anugerah lain. Selain itu, terdapat di antara mereka menjerit meminta Sterling melanjutkan kontraknya bersama Liverpool. Penyerang England itu dilapor sedang diburu oleh Manchester City dan Chelsea dengan jumlah bidaan lebih tinggi berbanding kelab lain.