KOTA BARU: Sebanyak 15 gendang Cina akan dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi membakar semangat pemain Kelantan ketika menentang Lions XII dalam perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini. Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) Rozamri Md Ali berkata, pihaknya juga ada mencipta beberapa lagu serta irama baharu yang akan didendangkan pada perlawanan akhir itu nanti. "Alhamdulillah selepas beberapa hari menjalani sesi latihan saya nampak kumpulan gendang kita sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan sokongan padu kepada barisan pemain. "Gendang ini dapat membangkitkan lagi semangat para pemain untuk berjuang sepenuh hati demi maruah negeri Kelantan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Katanya, paluan gendang berkenaan akan menyemarakan perlawanan akhir itu dan pemain diharap tidak putus asa dan terus berjuang untuk membawa pulang kejuaraan Piala FA ke Kota Baru. Kelantan, yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir. Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan Terengganu, Sabtu lepas. -- Bernama