KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 (B-23) negara mengalami kekalahan pertama dalam aksi persahabatan selepas tewas 0-1 kepada skuad B-23 Indonesia di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, Khamis. Pemain tengah pasukan Pelita Bandung Raya, Wawan Febrianto meletakkan skuad Garuda Muda di hadapan pada minit ke-34 menerusi percubaan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menerjah pintu gol Malaysia, dalam aksi yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Indonesia, RCTI. Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol namun keputusan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, pengendali skuad B-23 negara Datuk Ong Kim Swee membuat enam pertukaran pemain bagi memburu gol penyamaan, namun masih buntu menembusi pintu gol pasukan tuan rumah. Skuad Garuda Muda, kemudian ditimpa malang selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan, Hansamu Yama Pranata diperintah keluar padang oleh pengadil dari Kemboja, Thong Chanketya kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-61. Percubaan terbaik skuad B-23 negara hadir menerusi percubaan Mohd Amirul Hisyam Awang Kechik, selang empat minit kemudian namun sepakannya terkena tiang gol pasukan tuan rumah. Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menembusi pintu gol masing-masing namun masih gagal menemui sentuhan jaringan sehingga berakhirnya perlawanan. Skuad B-23 negara sebelum ini melakar dua kemenangan pada aksi pemanas badan menjelang acara bola sepak Sukan SEA 2015 yang bermula secara rasmi pada 29 Mei ini. Mereka menundukkan pasukan Liga FAM, Real Mulia FC 4-1 pada aksi persahabatan pertama di padang Pusat Latihan Maybank, Bangi dekat sini, 11 Mei lepas, sebelum menang selesa 3-0 ke atas skuad Liga Perdana Sabah pada aksi kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, selang empat hari kemudian. Malaysia berdepan laluan sukar dalam acara bola sepak pada temasya dwitahunan itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste. Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada 30 Mei; Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun. Kesemua perlawanan Kumpulan B berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi Kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja di Stadium Jalan Besar. -- Bernama