suria

PJBM Bantu Jurulatih Daripada 'Direhatkan'

PETALING JAYA: Hak jurulatih bola sepak tempatan bakal dilindungi dengan adanya kontrak khas untuk jurulatih yang akan dikeluarkan oleh Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) dengan persetujuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden persatuan B. Sathianathan berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai pelaksanaan kontrak jurulatih tersebut.

"Kontrak jurulatih ini berbeza dengan kontrak pemain seperti yang diamalkan sekarang. Ini bagi memastikan tidak ada lagi istilah ‘direhatkan’ kepada jurulatih dengan sewenang-wenangnya oleh pasukan atau kelab dan jika diluluskan oleh FAM, ia mampu mengelakkan status  tidak menentu jurulatih terlibat.

"Dalam bola sepak tidak ada istilah rehat, hanya ada dipecat. Di negara-negara Eropah juga tidak pernah digunakan perkataan ini.

"Istilah 'direhatkan' ini memang membuatkan kita tidak puas hati. Dalam kontrak itu menyebut kerja kita adalah menjalani latihan dan mengendali perlawanan tapi bila kita direhatkan, apa kerja kita.

"Walaupun dibayar gaji tapi itu bukan kerja kita. Kita sebagai jurulatih kena kerja atas padang dan bukan duduk rumah dan makan gaji.

"Pemain ada 25 orang, kalau prestasi merosot, mereka tidak akan main dalam kesebelasan utama dan masih ada peluang memperbaiki. Tapi jurulatih kalau direhatkan, macam mana mereka hendak lakukan perubahan dan memperbaiki prestasi mereka?

"Kalau ikut kontrak boleh ditamatkan dengan sama ada kena bayar sampai tempoh tamat kontrak atau ia boleh dibawa berbincang," jelasnya ketika perjumpaan dengan media di Wisma FAM pada Rabu.

Bagaimanapun Sathianathan menolak dakwaan PJBM kembali aktif disebabkan dengan kesnya yang dianggap ‘gantung tak bertali’ selepas direhatkan oleh pengurusan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 14 April lalu.

"Ia secara kebetulan dengan kes saya itu dan ada juga kes sama yang dialami oleh kawan-kawan saya lain yang belum disiarkan lagi.

"Saya mahu tekankan agar tidak samakan pemain dengan jurulatih kerana dalam pasukan hanya ada seorang sahaja ketua jurulatih. Ini yang kita mahu betulkan.

"Tolong hormat jurulatih," tegas bekas jurulatih kebangsaan ini.

Walaupun PJBM ditubuhkan sejak tahun 1994, tetapi ramai yang tidak sedar kewujudannya.

"Sebelum ini persatuan tidak aktif, namun pada Disember lalu perlantikan pengurusan baharu dibuat dan kini mula beroperasi selepas menyediakan perancangan dan juga mengatasi beberapa masalah teknikal.

"PJBM ini mendapat sokongan penuh daripada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan kami turut menerima sumbangan peribadi RM50 ribu untuk persatuan menjalani aktiviti yang berkaitan.

"Dalam tempoh  ini kita sedang mengumpul semua data berkaitan jurulatih dalam Liga Malaysia. Semua jurulatih memegang lesen C hingga profesional boleh mendaftar dengan persatuan.

"Bagi jurulatih yang berumur 60 tahun ke atas yang masih aktif juga boleh mendaftar sebagai ahli seumur hidup. Keahlian juga terbuka kepada jurulatih futsal dan juga bola sepak pantai," katanya.

Tambah Sathianathan, persatuan akan mengadakan Liga Bola Sepak Rakyat yang lama lagi.

"Selain itu persatuan juga akan melaksanakan ‘technical study group’ pertama kali akan diadakan di Malaysia seperti yang telah dipraktikkan pada Piala Dunia, Piala Asia dan sebagainya.

"Kita akan gunakan untuk Piala Malaysia terlebih dahulu kerana liga memerlukan banyak lagi kajian," tambahnya.

Artikel Lain