MANCHESTER United melakukan pertanyaan sensasi kepada Liverpool mengenai prospek mendapatkan Raheem Sterling walaupun ia tidak pernah berlaku sejak 51 tahun lalu. Pemindahan pemain antara kedua-dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak berlaku selepas Phil Chisnall meninggalkan Old Trafford untuk ke Anfield pada 1964. Bagaimanapun Liverpool dengan pantas menolak sebarang urusan tentang penjualan Sterling terhadap United walaupun pemain England berkenaan telah menyatakan hasrat untuk berhijrah. Sterling yang dianugerahkan pemain muda terbaik Liverpool pada Selasa mempunyai baki kontrak semasa selama dua tahun, dan berikutan itu The Kop enggan menjualnya kepada mana-mana kelab di EPL. Chelsea, Arsenal dan Manchester City kini dalam perancangan untuk mendapatkan Sterling, namun pertanyaan United yang ditolak bermakna Liverpool tidak akan menjual pemain berkenaan pada musim ini. Pengendali Liverpool, Brendan Rodger yakin dapat memujuk Sterling untuk melanjutkan kontraknya walaupun ditolak sebelum ini.