KOTA BHARU: Seorang peminat fanatik Kelantan bernazar mahu berlari dari Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Kota Baharu, jika Kelantan menjulang Piala FA, Sabtu ini. Zakaria Yusof, 65 berkata, sekiranya pasukan Kelantan menang, misinya itu akan bermula pada jam 8 pagi, hari berikutnya. Datuk kepada 13 orang cucu ini yang lebih mesra dengan panggilan ‘Pok Ya Rambo’ menjelaskan, idea itu timbul apabila melihat seorang peminat Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid, 58, atau Pak Majid menunaikan nazar dengan berjalan kaki secara solo sejauh 280km dari Kuantan ke Stadium Shah Alam, tahun lalu. "Jika dia (Pak Majid) boleh lakukannya, saya juga mampu buat. Saya mahu buktikan usia bukan penghalang. "Ini tanda sokongan saya kepada pasukan Kelantan dan saya harap kami akan menang perlawanan itu. "Isteri saya Wan Moh Wan Abdullah, 52, dan anak tidak ada sebarang masalah dengan misi ini," katanya. Misinya itu membabitkan jarak perjalanan kira-kira 500km, bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Kuala Lipis, Pahang sebelum memasuki Kelantan dan menamatkan larian di Stadium Sultan Muhammad IV di sini. Perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan LionsXII dari Singapura akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini. Kelantan, yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir. LionsXII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan Terengganu, Sabtu lalu.