BINTANG Jerman, Mats Hummels telah menolak tawaran untuk berhijrah ke Manchester United, menurut kelabnya, Borussia Dortmund. Mirror Online melaporkan, Hummels merupakan sasaran utama United sejak kelab itu dikendalikan oleh Louis Van Gaal. Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan pertahanan itu pada Julai ini mungkin tidak akan berlaku kerana pemain berkenaan ingin kekal di Dortmund. Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc pada Rabu mendakwa, pemain bernilai £37 juta itu memilih untuk kekal di kelab tersebut untuk musim depan. "Mats sentiasa memikirkan mengenai masa depannya, oleh itu kami telah memberitahu mengenai rancangan yang telah diatur untuknya," katanya. Berikutan penolakkan itu, United dilapor menghidupkan semula minat mereka terhadap Nicolas Otamendi yang bernilai £36 juta. Pemain Valencia itu sepatutnya berhijrah ke Old Trafford pada Januari lalu, namun kesepakatan gagal dicapai.