LONDON: Jaguh tinju welterweight Britain, Amir Khan sedia menyahut cabaran Floyd Mayweather untuk bertarung September ini jika peninju Amerika Syarikat itu berhasrat menjadikan ia pertarungan terakhir dalam kariernya. Bagaimanapun, Amir perlu menghadapi Chris Algieri di Barclay Center, London yang dijadualkan pada 29 Mei ini terlebih dahulu. “Memenangi pertarungan ini adalah misi yang sangat penting dalam karier saya. Saya tahu, Algieri bukan pencabar yang mudah ditewaskan kerana dia sangat berbahaya. “Selepas itu baru saya akan bertemu Mayweather,” kata Amir yang menganggap setiap perlawanan itu penting. Pada 2 Mei lalu, Mayweather menewaskan jaguh tinju Filipina, Manny Pacquiao di Las Vegas. Sejurus kekalahan itu, Pacquiao membuat pengakuan mengalami kecederaan sebelum pertarungan tersebut diadakan. Meskipun dikenakan hukuman denda oleh Persekutuan Tinju Dunia (WBA) kerana gagal mengisytiharkan kecederaan sebelum pertarungan, Pacquiao masih memohon untuk mengadakan perlawanan semula dengan Mayweather. Mayweather yang menyifatkan Pacquiao sebagai pengecut kemudian mendedahkan, dia tidak akan mengadakan pertarungan semula dengan peninju Filipina itu kerana ingin memberi fokus 100 peratus terhadap perlawanan menentang Amir sebelum meneruskan hasrat untuk bersara pada September ini. “Sebelum saya berupaya mendominasi pertarungan itu (menentang Mayweather), saya perlu menjadi lebih baik dengan menewaskan Algieri terlebih dahulu,” tambah Amir. – Agensi