PUTRAJAYA: Pakar prestasi elit, Keith Power, dilantik sebagai pengarah Sukan Prestasi Tinggi (HPS) yang baharu. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mengumumkan pelantikan bekas atlet berusia 49 tahun itu, berkata Power akan bertanggungjawab menyelaras program pembangunan sukan bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN). "Power baru saja melapor tugas pada minggu lepas. Memandangkan beliau sudah seminggu bersama kita, beliau akan menyaksikan beberapa pertandingan pada Sukan SEA bagi mendapatkan gambaran terbaik berkaitan pencapaian atlet," katanya pada Ahad. Power, bekas Pengarah Prestasi Tinggi di University of California (UC) Berkeley, memiliki pengalaman 25 tahun menyediakan solusi prestasi ramai atlet terkemuka dunia, para jurulatih dan pasukan sukan profesional di seluruh dunia. Beliau menyertai UC pada Julai 2009 sebagai pengarah prestasi tinggi pertama bagi jabatan atlet di mana beliau memberi fokus kepada pembangunan Inisiatif Prestasi Tinggi yang menjadi sumber kepada pelajar-atlet, para jurulatih dan kakitangan. - Bekas ketua jurulatih pasukan bobsleigh (luncur ais) Sukan Olimpik musim sejuk Britain pada 1992 dan 1994 itu pernah bekerja dengan persekutuan-persekutuan sukan Olimpik dan institusi pendidikan terkemuka, ketua-ketua pegawai eksekutif, para pemimpin perniagaan dan syarikat-syarikat besar di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Sebagai atlet, Power pernah mewakili Britain dalam acara padang dan balapan di peringkat antarabangsa dan pernah memenangi tiga pingat perak Piala Dunia sukan bobsleigh. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam pengajian sukan dan sejarah dari West London Institute of Higher Education dan ijazah sarjana falsafah dalam pendidikan (psikologi sukan) dari Exeter. Sementara itu Power yang mengucapkan "apa khabar" semasa bertemu para pemberita dan berkata beliau akan menilai penetapan minda prestasi tinggi para jurulatih, atlet, para pentadbir dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam sukan. "Saya ada bercakap di ISN dan MSN serta beberapa atlet dan mendapat gambaran yang positif setakat ini. Saya mahu memastikan bahawa saya berada di sini kerana saya mahu sukan Malaysia mencapai yang terbaik. Saya ada kemahuan dan saya menjangkakan para atlet juga ada keinginan dan semua yang terlibat juga sama. "Sebagai contoh jika saya bertanya seorang tukang sapu lantai di MSN, saya mahu dengar dia berkata, saya menghasilkan pemenang pingat emas Olimpik dan bukan berkata, saya menyapu lantai," kata Power yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Keith Power Associates (KPA). Power pernah bekerja dengan beberapa ahli sukan elit seperti bekas bintang bola sepak, Rio Ferdinand dan Joe Cole, juara joki 16 kali Tony McCoy, legenda kriket England Angus Fraser, bekas pemandu Formula One Alex Yoong dan juara sukan renang Olimpik dan dunia Mark Foster.