KUALA LUMPUR : Buat pertama kali, kontinjen Malaysia ke Sukan SEA tidak meletak sebarang angka untuk pingat emas, sebaliknya temasya tahun ini menyasarkan 56 peratus pingat dalam pelbagai warna. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, sasaran yang dibuat kali ini merupakan satu pendekatan baharu kepada semua persatuan sukan. "Kalau kita letak sasaran pingat emas sahaja, sudah tentu persatuan akan ada kecenderungan untuk menghantar atlet senior sahaja. "Tetapi apabila kita letak sasaran pingat emas perak dan gangsa, mereka pastinya berani menghantar atlet-atlet pelapis untuk bersaing. "Ini merupakan kaedah 'mindset' baharu yang ingin diterapkan kepada persatuan yang sebelum ini hanya bergantung kepada atlet senior untuk meraih emas. "Kalau letak atlet senior, fokusnya sudah tentu pingat emas, tetapi kami lebih suka jika letak atlet pelapis yang ada 50-50 peratus untuk dapat pingat emas kerana membuktikan persatuan itu berani mendedahkan atlet muda mereka," jelasnya selepas merasmikan Simposium Kedua Program Kejurulatihan Pembangunan Bola Sepak Negara di Institut Sukan Negara (ISN) pada Isnin. Mengulas mengenai kemungkinan akan ada atlet yang sambil lewa untuk bersaing meraih emas dan cukup sekadar pingat perak atau gangsa, Ahmad Shapawi tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. "Jika ada atlet yang berfikiran begitu, sudah tentu dia bukan atlet yang bijak. "Sebenarnya kita ada sediakan pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet (Shakam) untuk pingat emas. "Malah pemenang pingat emas juga berpeluang untuk diserapkan ke Program Podium yang menawarkan pakej latihan lebih baik dari segi sara hidup, jurulatih serta sokongan pakar sains sukan yang komprehensif. "Dalam masa sama kita nak atlet-atlet pelapis ini fokus kepada Sukan SEA. Sebelum ini rata-rata atlet muda hanya fokus nak menang Sukma...nak menang Sukma. Jadi kita tukar kepada yang lebih tinggi. "Kalau letakkan mindset kita di tahap yang lebih tinggi seperti Sukan Asia atau Komanwel sudah tentu pada Sukan SEA kita berjaya dapat emas. "Kita ambil contoh atlet Australia yang meletakkan fokus hanya kepada Sukan Olimpik sahaja," jelasnya.