KUALA LUMPUR: Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim berharap jurulatih-jurulatih tempatan tidak mempunyai sikap 'bodoh sombong' bagi memastikan program ini berjalan lancar. Bekas jurulatih pembangunan Bayern Munich ini mengakui bukan mudah untuk mempelajari perkara baharu, lebih-lebih lagi apabila sesuatu itu sudah menjadi rutin. "Sebab itulah simposium atau kongres untuk jurulatih perlu diadakan kerana mereka (jurulatih-jurulatih) bukan sahaja perlu mempelajari falsafah-falsafah yang ada di dalam PPBN, tetapi perlu tahu perkembangan semasa. "Mereka tidak boleh terus dengan corak latihan lama jika ingin melihat pembangunan bola sepak negara kita berjaya. Jurulatih-jurulatih ini perlu tahu apa 'trend' terkini dalam kejurulatihan serta apa yang negara-negara lain lakukan dalam program pembangunan bola sepak mereka. "Kita perlu ikut negara yang berjaya jika ingin berjaya," katanya ketika ditemui pada Simposium Kedua Program Kejurulatihan PPBN di Institut Sukan Negara (ISN) pada Isnin. Teong Kim berkata, semua jurulatih yang terlibat dengan PPBN perlu mengambil peluang keemasan ketika pakar-pakar pembangunan bola sepak antarabangsa hadir ke Malaysia. "Kami menjemput bukan sebarangan jurulatih kerana mereka adalah pakar dalam bola sepak, malah telah membuktikan kejayaan mereka di mata dunia. "Contohnya Bern Stober adalah orang penting di Jerman apabila program pembangunannya telah berjaya membawa Jerman menjulang Piala Dunia tahun lalu. "Ia berlaku kerana sikap kesabaran berpuluh tahun ketika program pembangunan di jalankan. Itulah yang kita harapkan suatu hari nanti. Apa yang kita lakukan sekarang, perlu ada kesabaran. Program ini bukan mengambil masa setahun, tetapi bertahun-tahun. "Beliau sanggup berkongsi faktor-faktor kejayaan dengan kita, dan itu sesuatu yang penting kerana kita cuba mengaplikasinya jika bersesuaian. "Jadi kita semua perlu bukakan telinga sebesar-besarnya untuk mengambil ilmu itu. "Kita jangan jadi bodoh sombong kerana sikap itu tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah akan terus berada di takuk lama," jelasnya. Ketika ditanya mengenai terdapat segelintir jurulatih tempatan yang enggan mengikuti falsafal PPBN, Teong Kim mengakui itu di luar kuasanya. "Selagi mereka berada dalam PPBN, mereka perlu ikut apa yang telah dirancangkan. Dan kalau tak nak ikut perancangan yang disediakan, jangan ganggu kami. "Kami boleh cari jurulatih lain," tegasnya. Bagaimana pun Teong Kim mengakui setakat ini semua jurulatih yang terlibat bersikap terbuka dan bersedia mempelajari sesuatu yang baharu. "Cuma mereka perlukan masa sedikit untuk membiasakan diri dengan perkara baharu, dan saya percaya semuanya akan lebih baik jika masing-masing tahu tanggungjawab sendiri," jelasnya. Selain Leong Kim dan Stober sebagai penceramah pada simposium yang bermula Isnin hingga Rabu ini, turut dijemput ialah Dany Ryser yang telah membawa pasukan Switzerland menjuarai Piala Dunia Bawah 17 Tahun pada 2009, Fritz Markus Schmid (Pengarah Teknikal FAM) dan Tom Byer iaitu jurulatih pembangunan bola sepak Asia berpangkalan di Tokyo, Jepun.