suria

Van Gaal Kembalikan Rasa Cintakan Bola Sepak - Young

PEMAIN sayap Manchester United, Ashley Young memuji cara pengurusan Louis Van Gaal serta menyatakan pengurus kelahiran Belanda itu telah mengembalikan rasa cintanya terhadap bola sepak.

Masa depan pemain berusia 29 tahun itu kelihatan samar selepas melalui musim mengecewakan tahun lalu tetapi kembali menunjukkan prestasi terbaik di bawah kendalian Van Gaal.

Young juga dijangka akan dipanggil semula menyertai pasukan England pada musim panas ini tetapi kecederaan menjadi penghalang baginya.

Bekas pemain Aston Villa itu berkata, berkhidmat untuk Van Gaal merupakan pengalaman yang hebat.

"Dia mula mengendali United sebelum musim bermula dan menerangkan tentang falsafahnya, apa yang dia mahukan daripada para pemain, butiran-butiran kecil semasa sesi latihan serta mahu menguruskan kelab ini dengan caranya sendiri.

"Van Gaal telah meletakkan saya di beberapa posisi seperti di bahagian sayap serta di bahagian pertahanan dan saya sentiasa memberikan yang terbaik untuknya dan menikmati musim yang menarik.

"Seperti yang saya katakan, sebagai seorang pemain, anda mahu sentiasa diberi peluang untuk beraksi dan saya dapat melakukannya pada musim ini, jadi ini merupakan musim yang baik untuk saya kerana saya mula berasa seronok untuk bermain bola sepak," katanya.

Young juga percaya kedudukan keempat yang berjaya dicapai oleh United musim ini akan menjadi batu loncatan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik pada musim hadapan.

"Kami mahu kembali memenangi trofi dan kejuaraan tetapi ia tidak berlaku musim ini.

"Sekiranya kami dapat meningkatkan prestasi permainan yang ditunjukkan musim ini, saya percaya kami mampu untuk memenangi kejuaraan pada musim hadapan," katanya lagi.





Manchester United

Artikel Lain