ROMA menyertai Liverpool dalam saingan mendapatkan penyerang Manchester City, Edin Dzeko yang dikatakan telah mengecewakan kelab berkenaan pada musim ini. Dzeko, 29, hanya membuat 11 penampilan dan menjaringkan empat gol sepanjang musim ini dan peluang lebih diberikan kepada Wilfried Bony. Berikutan itu juga, Roma merasakan City akan melepaskan pemain itu pada Julai ini. Roma terdesak untuk mendapatkan penyerang baru apabila gandingan penyerangnya, Francesco Totti dan Adem Ljajic hanya mampu menjaringkan sembilan gol. Bagaimanapun Roma dan Liverpool mungkin akan dituntut yuran pemindahan lebih tinggi kerana Dzeko baru melanjutkan kontraknya selama empat tahun pada Ogos tahun lalu. Jika bidaan munasabah, tidak mustahil City melepaskan pemain itu kepada Roma berbanding Liverpool yang merupakan pesaing dalam Liga Perdana Inggeris.