suria

Rombakan Besar-Besaran Dalam QPR

> Hampir kesemua pemain lama dan tua seperti Joey Barton, Rio Ferdinand dan ramai ditamatkan kontrak

> QPR tersingkir ke liga bawah selepas semusim kembali ke Liga Perdana

> Kelab milik taikun Malaysia Tony Fernandes

KELAB milik rakyat Malaysia, Queens Park Rangers atau QPR telah melakukan rombakan besar-besaran dengan menamatkan kontrak sekurang-kurangnya enam pemain kanan dan tua seperti Joey Barton dan Rio Ferdinand dalam usaha mereka untuk menyuntik kemasukan pemain-pemain baru dan muda.

QPR yang baru semusim naik semula ke Liga Perdana Inggeris kini telah tersingkir ke liga bawah semula dan pemiliknya, Tan Sri Tony Fernandes tidak menunggu lama untuk bertindak melakukan 'pembersihan' secara besar-besaran.

Selain Barton dan Ferdinand, lain-lain pemain yang tidak disambung kontrak mereka ialah, Bobby Zamora, Richard Dunne, Shaun Wright-Phillips dan Brian Murphy.

Sebaik sahaja berita mengenai penamatan kontrak pemain-pemain lama ini dikeluarkan, Barton, 32, sendiri membuat satu kenyataan umum melalui Twitter mengucapkan terima kasih kepada QPR dan Fernandes serta menegaskan yang kelab itu mempunyai asas yang kukuh untuk kembali semula ke Liga Perdana.

Barton bermain selama empat tahun bersama QPR.

Pada masa yang sama, boleh dikatakan semua pemain pinjaman telah dihantar kembali ke kelab asal masing-masing dan mereka terdiri daripada Loanees Mauricio Isla, Niko Kranjcar, Eduardo Vargas dan Mauro Zarate.

QPR

Artikel Lain