PETALING JAYA: Seramai 24 pemain Bawah 13 tahun Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bakal berangkat ke Jerman bagi menyertai porgram Jelajah Eropah bermula 29 Mei hingga Julai ini. Pengarah Teknikal PPBN, Lim Teong Kim berkata, pemain-pemain muda ini akan didedahkan dengan perlawanan persahabatan malah turut menyertai dua kejohanan. "Kami akan berada di Jerman selama lima minggu, dua minggu di Sepanyol dan seminggu di Portugal. "Pemain-pemain berada di Munich, Madrid dan Sevilla untuk beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan remaja di sana. "Mereka juga akan menyertai Piala Iber Costa Del Sol (22-27Jun) dan Piala Iber Estoril (30Jun- 5 Julai). "Ia merupakan pendedahan awal pemain-pemain kita dalam misi persiapan ke Piala Dunia Remaja 2019," jelasnya yang akan terbang ke Jerman pada Khamis malam. Dalam pada itu, Teong Kim berharap Jelajah Eropah ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh pemain-pemain Malaysia dan menggunakan ilmu yang pelajari ketika mengikuti PPNB sejak tahun lalu. Selain pemain, seramai 16 jurulatih PPBN turut menyertai Jelajah Eropah ini sekaligus turut memberi manfaat mengenai ilmu kejurulatihan kepada mereka.