suria

Malaysia Perlu Menang Ke Atas Timor Leste - Khairy

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ketika berucap merasmikan Kempen 100Plus 'Yang Hebat Dahagakan Cabaran' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jumaat. 
Pada majlis itu, pemain legenda dunia Pele dan pemain Chelsea Oscar dos Santos dari Brazil dilantik sebagai duta minuman istonik itu.
-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak bawah 23 tahun kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee perlu mencatat kemenangan pertama menentang Timor Leste dalam saingan Sukan SEA Singapura yang akan berlangsung di Stadium Bishan, di republik itu pada Sabtu, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau menyifatkan perlawanan esok berpihak kepada skuad negara kerana kelebihan dari aspek prestasi pasukan yang lebih baik daripada Timor Leste.

"Esok mestilah kena menang, Timor Leste bukanlah musuh tradisi kita dalam bola sepak... tetapi saya tidak memandang rendah pada mana-mana negara yang bertanding.

"Sepatutnya kita tiada masalah bertemu Timor Leste," katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen 'Yang Hebat Dahagakan Cabaran' oleh 100Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu legenda bola sepak dunia, Pele dan pemain Brazil, Oscar selaku duta antarabangsa pertama yang dilantik 100Plus.

Sementara itu, 100Plus turut memberi tajaan lebih RM2 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi menyokong program Bola Sepak Kebangsaan.

Malaysia berdepan laluan sukar selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste.

Selepas menentang Timor Leste, skuad negara akan bertemu Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.

Kesemua perlawanan Kumpulan B berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi Kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja di Stadium Jalan Besar.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata tiada layanan istimewa kepada mana-mana atlet yang enggan menaiki bas yang disediakan ke Singapura bagi menyertai Sukan SEAminggu depan.

Beliau berkata hanya atlet yang berada di luar negara sahaja yang dibenarkan menaiki kapal terbang ke Singapura.

"Kalau mereka bertolak dari Kuala Lumpur, semua akan menaiki bas...Saya tidak tahu di mana Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) berada. Sekiranya beliau berada di sini, Chong Wei perlu ke Singapura menaiki bas," katanya.

Sebelum ini, Ketua kontinjen negara Datuk Seri Norza Mohamad Zakaria berkata penggunaan bas sebagai pengangkutan atlet ke Singapura bukan untuk menjimatkan kos tetapi bertujuan untuk memupuk semangat atlet bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

Sebanyak 34 buah bas akan membawa 843 atlet dan pegawai sukan pada temasya dwitahunan itu.

Artikel Lain