WALAUPUN ditawarkan £10 juta (RM58 juta) tetapi Southampton menolak mentah-mentah permintaan Liverpool untuk membeli pemain pertahanan kanan mereka, Nathaniel Clyne. Sejarah urusniaga Liverpool dengan Southampton bukan baru. Musim lalu, mereka membelanjakan hampir £50 juta untuk membeli tiga pemain Southampton serentak iaitu Adam Lallana, Dejan Lovren dan Rickie Lambert. Oleh hal yang demikian, Southampton sedar, jika Liverpool benar-benar mahu mendapatkan seseorang pemain itu, mereka bersedia untuk muncul dengan tawaran yang lebih baik. Clyne, 24, yang kini telah disenaraikan dalam skuad kebangsaan England menjadi sasaran utama Liverpool sebagai persediaan untuk mengantikan tempat Glen Johnson yang sudah pun berusia 30 tahun. Kontrak Johnson akan tamat tidak lama lagi. BBC melaporkan, Liverpool dijangka membuat bidaan baru dengan tawaran yang lebih baik. Southampton pula pada masa yang sama jika gagal menjual Clyne, akan mengalami kerugian besar kerana pemain itu enggan menandatangani sambungan kontrak yang akan tamat setahun saja lagi. Menurut peraturan, jika dalam tempoh enam bulan dari sekarang mereka gagal menjual Clyne, pemain itu akan menjadi pemain bebas dan Southampton tidak akan memperolehi apa-apa bayaran perpindahan seandainya dia berhijrah ke kelab lain. Clyne menyertai Southampton dari Crystal Palace pada Julai 2012 dan kini berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang muka baru berkaliber dalam Liga Perdana Inggeris. Selain Clyne, Liverpool juga sedang turut berusaha untuk mendapatkan penyerang sensasi Burnley, Danny Ings dan pemain tengah Manchester City, James Milner. Brendan Rodgers kini sedang berusaha untuk mengukuhkan semula skuadnya setelah mereka jatuh ke tangga keenam liga daripada kedudukan naib juara liga musim lalu.