PETALING JAYA: Cabaran kontinjen Malaysia dalam aksi Sukan SEA di Singapura bermula dengan aksi skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B23) negara bertemu pasukan Timor Leste bagi saingan Kumpulan B pada Sabtu ini di Stadium Bishan. Ketua jurulatih B23 negara, Datuk Ong Kim Swee pastinya menjadi tumpuan dalam mengadun ramuan terbaik untuk mengutip kemenangan pertama yang penting buat pemain-pemain. "Saya sedar acara bola sepak pastinya akan menjadi tajuk utama dan sudah pasti saya akan cuba yang terbaik mencorakkan pemain-pemain ketika perlawanan Sabtu ini. "Dalam masa sama saya akui pasukan kita akan berdepan dengan saingan sukar daripada Thailand dan Vietnam, namun saya tidak mahu terlalu fokus kepada dua pasukan ini sahaja kerana pasukan-pasukan lain juga mempunyai kelebihan tersendiri. "Apa yang penting sekarang ialah, kami mahu beri tumpuan kepada perlawanan pertama dahulu dan berharap semua pemain bermain bersunguh-sungguh sebelum mencatat kemenangan. "Tidak ada masalah sekiranya semua pemain mengikut strategi dan perancangan yang telah ditetapkan. "Menang perlawanan pertama mampu meningkatkan lagi motivasi pemain-pemain untuk melakukan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya," jelas pengendali berusia 44 tahun itu. Selepas aksi bertemu Timor Leste, skuad B23 negara bakal diuji dengan pasukan Vietnam (2 Jun), seterusnya juara bertahan Thailand (4 Jun) , Brunei (8 Jun) dan Laos pada 11 Jun. Kim Swee dipertanggungjawabkan membawa balik 'ibu emas' yang dimenangi skuad negara dua tahun berturut-turut sebelum ini (2009, 2011) selepas gagal pada aksi 2013 setelah tewas 2-1 kepada Singapura ketika aksi penentuan tempat ketiga di Myanmar.