KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) Datuk Karim Ibrahim telah dipilih sebagai anggota majlis individu dalam Persatuan Olahraga Asia (AAA). Pengurus Besar MAF, M. Latchumanan, dalam kenyataan pada Selasa, berkata Karim memenangi kerusi tersebut selepas memperoleh 33 undi daripada 44 negara pada Kongres AAA di Wuhan, China, Isnin. Menurut laman web rasmi Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF), www.iaaf.org, Presiden AAA, Dahlan al-Hamad dari Qatar mengekalkan jawatan tanpa bertanding manakala Du Zhaocai dari China dipilih sebagai Naib Presiden Kanan. Sementara itu, lima calon dipilih sebagai naib presiden iaitu Lalit Bhanotdari India, Talib F Al-Saffar (Iraq), Alexey Kondrat (Kazakhstan), Philip EllaJuico (Filipina) dan Suhail Q Al-Zawawi dari Arab Saudi. Selain Karim, anggota majlis individu lain dipilih ialah Ruqaya ManssorEbrahim Al-Ghasara dari Bahrain, Mala Sakonhninhom (Laos), Saad Al-Hiasat(Jordan), Mohammad Jumah (Kuwait), Muhammad Akram Sahi (Pakistan), W Palitha PFernando (Sri Lanka), Ching Cheng Wang (Taiwan), Nasser Sultan AS AL-Maamari (Emiriah Arab Bersatu) dan Hoang Manh Cuong dari Vietnam.