V Shem/Wee Kiong tewas kepada pasangan pilihan kelapan dari China Fu Haifeng/Zhang Nan 14-21 dan 15-21 dalam masa 30 minit.
Fu Haifeng/Zhang Nan akan berdepan beregu pilihan kedua Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark di suku akhir.
Terdahulu, pasangan Denmark itu mengalahkan beregu tuan rumah Andrei Adistia/Hendra Aprida Gunawan 21-18 dan 21-14.
Ketika ditemui Bernama, V Shem berkata walaupun keletihan selepas beraksi di Terbuka Indonesia, ia tidak melunturkan semangat mereka untuk menampilkan yang terbaik pada Sukan SEA Singapura.
"Kami menerima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana sememangnya beregu China itu hebat dan sukar ditandingi tetapi kami sudah melakukan yang terbaik," katanya bahawa mereka akan berlepas ke Singapura esok.
V Shem yakin mereka mampu membuktikan sesuatu di Sukan SEA dan menganggap saingan di Jakarta itu, sebagai persiapan terbaik bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.