SINGAPURA: Vietnam dan Thailand daripada Kumpulan B manakala Myanmar daripada Kumpulan A melangkah ke separuh akhir acara bola sepak pada Sukan SEA 2015 di Singapura. Vietnam yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan membelasah Timor Leste 4-0 dalam perlawanan awal keempat Kumpulan B di Stadium Bishan malam Ahad melalui jaringan Tran Phi Son pada minit ke-12, Mac Hong Quan (minit ke-50), Que Ngoc Hai (minit ke-57) dan Vo Huy Toan, empat minit kemudian. Myanmar juga menang selesa selepas menumpaskan Filipina 5-1 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Jalan Besar. Kesemua gol Myanmar dijaringkan oleh Nay Lin Tun pada minit ke-21, Shine Thura (minit ke-46), Ye Win Aung (minit ke-62), Sithu Aung (minit ke-69) dan Kyaw Zin Lwin dalam masa kecederaan sementara gol tunggal Filipina dijaringkan oleh Felongco pada minit ke-17. Thailand selaku juara bertahan, menjadi pasukan pertama mara ke separuh akhir suka dwitahunan itu setelah mengaibkan Brunei 5-0 di Stadium Bishan Ahad.