KUALA LUMPUR: Pemain penyerang Faizal Saari menetapkan impiannya untuk bermain pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Faizal, melalui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), berkata pasukan hoki Malaysia perlu membuktikan bahawa mereka boleh bermain dengan lebih baik dan memenangi separuh akhir Liga Hoki Dunia (HWL) di Antwerp, Belgium. "Saya gembira dapat menyumbangkan gol pertama kepada pasukan Malaysia... ia untuk negara saya, pasukan dan diri sendiri. Penting untuk memperoleh kemenangan pertama kerana ia memberi keyakinan untuk perlawanan seterusnya," katanya kepada FIH. Skuad hoki negara memulakan kempen separuh akhir HWL dengan mencatat kemenangan 3-2 ke atas China dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B. Malaysia mendahulu melalui gol cantik Faizal dari sudut sukar pada minit ke-18 sebelum Muhammad Haziq Shamsul menambah gol kedua pada minit akhir separuh masa pertama. Malaysia menambahkan kelebihan dengan 3-1 pada suku terakhir permainan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Kapten Muhammad Razie Abd Rahim. Kemenangan yang dicapai pada perlawanan Ahad memberi tiga mata kepada pasukan negara yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama dengan China, Ireland, Belgium dan England. Malaysia dijadual bertemu Ireland pada 25 Jun, Belgium pada 26 Jun dan England pada 28 Jun. Malaysia yang berada pada ranking ke-12 dunia perlu menamatkan saingan pada kedudukan tiga teratas pertandingan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik tahun depan.