PETR Cech, penjaga gol Chelsea pada Selasa menafikan laporan bahawa dia telah menandatangani perjanjian pemindahan dari Chelsea ke Arsenal bernilai £11 juta. Portal berita Britain, The Daily Mail melaporkan pada petang Isnin bahawa penjaga gol itu telah bersetuju meninggalkan The Blues selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan nilai perpindahan tersebut. Tetapi wakil pemain itu menulis satu mesej di Twitter menafikan berita tersebut dan pemain itu sendiri kemudian membuat tweet semula (retweet) mesej kepada 1.16 juta pengikutnya mengesahkan apa yang dikatakan oleh ejennya itu. "Terdapat cakap-cakap yang jelas bahawa Arsenal akan menandatangani perjanjian dengan Petr dan jika mereka mendapatkan Petr, ia pasti akan memantapkan kelab itu. Dia akan menyelamatkan 12 hingga 15 mata mereka untuk musim akan datang. "Saya yakin jika dia meninggalkan kelab, yang sebenarnya tiada siapa mahu melihat dia berbuat begitu, tetapi kita faham bahawa dia mahu bermain bola sepak, dia akan sentiasa dirindui. Walau dia menyertai kelab mana sekali pun, dia akan membantu dalam peningkatan mereka," kata Kapten Chelsea, John Terry.