KUALA LUMPUR: Wakil kelab Terengganu, T-Team meraih kemenangan kesembilan dalam saingan Liga Perdana musim ini setelah melakar kemenangan selesa 4-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Isnin malam. Keputusan tersebut menyaksikan skuad 'The Titans' terus memimpin carta Liga Perdana dengan kutipan 29 mata, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat Pulau Pinang dengan kelebihan empat mata selepas 12 perlawanan. Empat gol T-Team dijaringkan oleh Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit keempat, Farhod Tadjiev (21'), Mohd Norhakim Hassan (35') dan Josip Milardovic pada minit ke-52. Gol tunggal Kuala Lumpur dihasilkan oleh Modibo Konte pada minit ke-68 untuk melakarkan kekalahan ketujuh musim ini dengan hanya mengutip 11 mata. Pulau Pinang pula memintas kedudukan Sabah di tangga kedua liga setelah mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas SPA Putrajaya FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Empat gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan oleh Elias Sulaiman pada minit ke-59, Mat Saiful Mohamad (69') sebelum penyerang import dari Brazil, Alberto Goncalves meledak dua jaringan iaitu menerusi sepakan penalti pada minit ke-87 dan jaringan kedua, selang dua minit kemudian. Gol tunggal pasukan pelawat disumbang oleh pemain import dari Rusia, Rodion Sergeyevich Dyachenko pada minit ke-79. Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan Kedah bangkit daripadaketinggalan satu gol sebelum mengalahkan UiTM FC 3-1. Raslam Khan Abd Rashid meletakkan UiTM FC di hadapan pada minit ke-36 sebelum skuad Helang Merah bangkit meledak tiga gol menerusi Mohd Syafiq Ahmad pada minit ke-51 dan 54' dan gol pemain tengah, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-62. Turut meraih tiga mata penuh adalah wakil kelab Lembah Klang, PKNS FC yang meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas juara Liga FAM 2014, Kuantan FA dari Pahang pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka. Tiga gol PKNS FC dijaringkan oleh P.Gunalan pada minit ke-48 selain dua jaringan pemain import dari Argentina, Gabriel Guerra pada minit ke-64 dan 67. Kuantan FA pula meraih gol menerusi Muhammad Razren Jesni pada minit ke-35dan Muszaki Abu Bakar pada masa kecederaan separuh masa kedua perlawanan. Dalam pada itu, pertemuan Sabah dan Negeri Sembilan di Stadium Likas, KotaKinabalu dan perlawanan Johor Darul Ta'zim II menentang DRB Hicom FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu masing-masing berakhir dengan keputusan seri 2-2.