suria

Mario Mandzukic Sah Milik Juventus

PENYERANG Atletico Madrid, Mario Mandzukic telah melengkapkan perpindahannya ke Juventus.

Bintang antarabangsa Croatia itu lulus ujian kesihatan dan menandatangani kontrak empat tahun bersama Juara Liga Itali (Serie A) pada Isnin.

Perpindahan tersebut dipersetujui minggu lalu dengan bayaran sebanyak 19 juta Euro (RM80.48 juta).

Bekas penyerang Bayern Munich itu berkata, dia sudah bersedia untuk bersaing bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan baharunya itu.

"Ini adalah rumah baru saya dan akan memberikan yang terbaik untuk pasukan ini.

"Saya suka bandar ini dan berharap akan gembira berada di sini," jelasnya.

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri telah mengesahkan perpindahan Mandzukic sebelum hujung minggu lalu.

"Perpindahan ini dibuat bukanlah untuk menggantikan Carlos Tevez, tetapi untuk mendapatkan pemain baharu dan menilai corak permainan mereka.

"Selain kehadiran Mandzukic, kami juga mempunyai pemain-pemain muda yang berkualiti seperti Simone Zaza, Kingsley Coman, Alvaro Morata dan Paulo Dybala.

"Mandzukic mampu menjaringkan gol di setiap liga yang disertai serta mempunyai karakter yang penting dan telah membuktikan kemampuannya di peringkat antarabangsa jadi saya amat gembira dengan kehadirannya dalam pasukan ini," kata Allegri.

Perpindahan tersebut memberi satu pandangan yang tersendiri apabila Mandzukic telah berpindah ke tiga kelab yang menjadi naib juara dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), ke Bayern Munich pada 2012, Atletico Madrid pada 2014 dan kini ke Juventus yang tewas kepada Barcelona pada final tahun ini.

Artikel Lain