PEMAIN muda tenis Australia, Nick Kyrgios sekali lagi berpisah dengan jurulatihnya untuk kali kedua dalam tempoh setahun selepas membuat keputusan enggan meneruskan khidmat Todd Larkham hanya beberapa hari sebelum bermulanya kejohanan Wimbledon. Kyrgios,20, yang dilihat sebagai prospek muda yang mempunyai masa depan cerah dalam sukan tenis mengumumkan keputusannya itu menerusi laman webnya dan mendedahkan keputusan tersebut dibuat bersama-sama dengan jurulatihnya dan mereka tetap akan kekal sebagai kawan. Hubungan Larkham dan Kyrgios bukanlah baharu memandangkan pemain muda ini mendapat bimbingan awal dari jurulatih itu. Mereka kembali bersama tahun lalu selepas Kyrgios itu memecat jurulatih sebelum ini, Simon Rea sebaik sahaja kejohanan Wimbledon berakhir. "Ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk menamatkan hubungan dengan jurulatih lebih-lebih lagi sebelum kejohanan Grand Slam bermula. "Tetapi saya merasakan ia adalah keputusan yang tepat buat masa ini dan saya akan bekerja lebih rapat dengan pasukan saya serta Tenis Australia untuk kejohanan Wimbledon. "Malah kami akan berkumpul semula selepas kejohanan ini untuk berbincang pelan yang terbaik untuk masa hadapan," kata Kyrgios. Pemain di ranking ke-29 dunia itu mengharungi pelbagai kejohanan sejak berjaya mara ke saingan suku akhir di Melbourne Park dan berjaya mara ke perlawanan akhir ATP di Estoril namun dalam masa yang sama terpaksa berdepan dengan masalah kecederaan siku. Gara-gara kecederaan tersebut, Kyrgios terpaksa menarik diri daripada kejohanan di Stuttgart awal bulan ini serta aksi pemanas badan di Nottingham sebelum bermulanya Kejohanan Wimbledon Isnin ini.