PETALING JAYA: Skuad muda Malaysia Bawah 13 Tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bakal menghadapi perlawanan sebenar di Eropah dengan menyertai Kejohanan Piala Iber B-13 Costa Del Sol, Sepanyol pada Selasa. Selepas dua minggu beraksi menerusi siri persahabatan Jelajah Eropah bersama akademi-akademi terkemuka dan mencatat kemenangan dalam semua sembilan perlawanan di Jerman, skuad muda negara tiba di Madrid, Ahad lalu. Skuad DNA negara yang mendapat sentuhan bekas jurulatih akademi remaja Bayern Munich, Lim Teong Kim ini mempunyai misi besar untuk cuba beraksi dengan ilmu yang diterapkan jurulatih di PPBN. Biarpun belum boleh dikatakan ia pasukan sempurna, hakikatnya duta-duta kecil Malaysia ini telah mengharumkan nama negara sepanjang dua minggu di Eropah. Sebelum bersaing pada aksi Piala Iber ini, pemain-pemain muda negara meneruskan aksi kemenangan dalam siri persahabatan dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas B-13 CF Pozuelo de Alarcon dan 6-3 menewaskan Pilihan Sepanyol B-15. Skuad sama juga mencatat rekod seri 2-2 buat kali pertama sepanjang siri jelajah ini ketika aksi bertemu B-13 Rayo Vallecano. Pasukan Malaysia buat julung kalinya menyertai kejohanan Piala Iber B-13 yang turut membariskan akademi terkemuka Eropah dan serata dunia. Piala Iber adalah kejohanan pelbagai peringkat umur yang dianjurkan pada setiap tahun di Amerika Syarikat, Sepanyol dan Portugal. Barisan muda negara ini bakal berdepan pasukan B-13 Atletico Madrid (Selasa), SL Olivia (Rabu) dan CF'Os Belenenses' G pada Khamis. Untuk rekod, juara B13 Costa Del Sol disandang oleh Valencia CF. Selain itu, sebaik sahaja kejohanan di Sepanyol ini berakhir pemain-pemain negara bakal terbang ke Portugal bagi mengharungi Piala Iber Estoril juga untuk peringkat umur mereka bermula 30 Jun hingga 5 Julai di mana pasukan Chivas Guadalajara adalah juara bertahan.