suria

Benitez Arah Pemain "Serang"

Rafael Benitez mahu pemainnya melakukan serangan berterusan pada setiap perlawanan.

MADRID: Kekuatan memiliki penyerang yang ramai mendorong jurulatih baharu Real Madrid, Rafael Benitez untuk mengatur strategi supaya pemainnya melakukan serangan berterusan.

Benitez menegaskan, di bawah kendaliannya, pemain kelab gergasi Sepanyol itu akan bermain secara menyerang.

“Kami memiliki ramai penyerang, jadi corak permainan kami adalah menyerang.

“Gaya permainan kami berdasarkan serangan, selepas menguasai bola, kami akan menyerang dengan pantas, cuba untuk mengimbangi antara serangan dan bertahan,” katanyanya.

Benitez, 55, mengikat kontrak tiga tahun bulan ini untuk mengendalikan kelab Sepanyol itu yang mana beliau memulakan karier kejurulatihan di peringkat remaja pada awal 1990-an.

Bekas jurulatih Liverpool itu boleh mengharapkan dua pemain baharu musim depan, pertahanan kanan Brazil, Danilo dan pemain tengah bertahan Brazil, Casemiro yang dibeli Real Madrid dari kelab Portugal, FC Porto, awal tahun ini.

Ditanya jika kelab itu akan mengikat pemain baharu, beliau berkata: “Sudah tentu."

Beliau menamakan Danilo dan Casemiro sebagai antara pemain penting untuk kelab itu bagi membantu berdepan cabaran musim depan.

“Tapi biar saya jelaskan untuk meningkatkan skuad semasa Real Madrid amat sukar. Pasukan ini sudah menang setiap trofi dan membuktikan tahap mereka. Peminat boleh yakin skuad ini memiliki tahap kompetitif yang diperlukan.”

Benitez menggantikan jurulatih Itali, Carlo Ancelotti yang dipecat Real Madrid hanya setahun selepas beliau mengemudi kejayaan ke-10 kelab itu menjulang Piala Eropah.

Beliau kembali ke Sepanyol buat kali pertama dalam tempoh sedekad selepas mencipta nama dengan dua kejuaraan liga dalam tempoh tiga tahun bersama Valencia antara 2001 dan 2004.


Benitez, Real Madrid

Artikel Lain