LEWIS Hamilton mendedahkan bahawa dia lebih rela melihat pelumba lain menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini berbanding rakan sepasukannya, Nico Rosberg. Hubungan juara dunia bertahan itu dengan Rosberg agak dingin walaupun berada dalam satu pasukan, Mercedes sejak dua tahun ini. Hamilton menewaskan Rosberg musim lalu dalam perebutan gelaran juara dunia dan menganggap persaingan paling sengit sepanjang kariernya, malah mengakui hubungan persahabatan mereka di puncak krisis. Ketika bercakap dalam rancangan rakaman Graham Norton Show BBC, Hamilton mendedahkan perasaan persaingan sangat mendalam sehingga tidak mahu melihat Rosberg bergelar juara walaupun mereka satu pasukan. "Ia satu perkara sukar. Kamu satu pasukan dan tugas kedua-dua pelumba untuk mendapatkan mata dan meraih kejuaraan. "Tetapi secara individu, kami berdua mahu menang, jadi masing-masing mahu menewaskan antara satu sama lain. "Saya sepatutnya berkata bahawa jika saya tidak menang, saya mahu rakan sepasukan yang menang, tetapi sebaliknya," jelas Hamilton.