suria

Skuad B-13 PPBN: Teong Kim Tidak Mahu Publisiti Berlebihan

KUALA LUMPUR: "Mereka seperti cahaya yang menerangi kegelapan," jelas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim berhubung prestasi skuad Bawah 13 Tahun (B-13) yang kini berada di Sepanyol bagi siri jelajah Eropah.

Bekas jurulatih remaja kelab Bayern Munich itu menjelaskan, pemain-pemain muda itu telah banyak menunjukkan perubahan sejak pertama kali melatih mereka (3 Julai 2014).

"Setahun berlalu, mereka seolah-olah satu cahaya yang menerangi kegelapan. Antara jelas yang saya lihat dari segi etika kerja, nilai hubungan sosial dalam proses pembangunan ini.

"Saya akan terus membimbing mereka untuk lebih berjaya di masa hadapan," jelasnya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp awal pagi Ahad.

Skuad DNA negara ini mula menjadi perhatian sejak tiga minggu lalu apabila tampil memberi keputusan positif dalam setiap perlawanan persahabatan di Jerman serta Sepanyol.

Selain perlawanan persahabatan, skuad ini turut menyertai dua kejohanan B-13, Piala Iber Costa Del dan Piala Iber Estoril  buat julung kalinya yang melibatkan pasukan-pasukan terbaik Eropah.

Bukan sekadar menjadi pelengkap kumpulan dalam saingan Piala Iber Costa del Sol  anak buah Teong Kim ini telah berjaya bergelar juara pada Sabtu menewaskan salah sebuah kelab remaja terbaik di Eropah, Sporting Lisbon 2-1.

"Kami akan terus membimbing mereka walaupun terpaksa berdepan dengan pasukan yang kuat. Ya, tidak dinafikan kemenangan amat baik untuk motivasi dan mental mereka, tetapi perlu ingat apabila kamu terlibat dengan program pembangunan, keutamaannya adalah penerimaan pemain-pemain.

"Tumpuan penting untuk melihat bagaimana pemain melakukan sesuatu tugas yang diberi, menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam setiap permainan.

"Tidak ada apa-apa resepi khas untuk mereka berada di tahap ini kerana saya hanya memberitahu mereka agar prcaya kepada kebolehan sendiri dan tunjukkan semua kepada saya," jelas jurulatih kelahiran Melaka ini.

Ketika ditanya mengenai perubahan terbesar yang dilihat, Teong Kim menjelaskan ia adalah ‘sikap’.

Semangat juang sentiasa bersama mereka dan tidak pernah berputus asa walaupun menghadapi kesukaran atau ketinggalan mata dengan pihak lawan,” katanya ringkas.

Dalam masa sama, jurulatih berusia 51 tahun ini mengakui bahawa perhatian mendadak kepada skuad ini boleh memberi kesan yang tidak baik kepada pemain-pemain.

"Sudah tentu publisiti yang keterlaluan boleh memberi kesan negatif sahaja kepada pemain, namun ia amat baik untuk PPBN agar orang ramai lebih memaham objektif sebenar.

"Malah PPBN telah memberi peluang pekerjaan kepada ramai jurulatih, liga remaja, struktur program latihan dan maklum balas yang baik di laman sosial.

"Malah pemain-pemain ini menerima komen yang positif daripada pihak lawan. Dan menurut ejen pemain di Sepanyol, pemain-pemain kita telah menarik pasukan di sana untuk bermain dengan mereka," katanya yang enggan memberi penjelasan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Masih teruja dengan kejayaan Costa del Sol, pemain-pemain muda ini akan terbang ke Portugal bagi mengharungi saingan Piala Iber Estoril dari 30 Jun hingga 5 Julai ini.

PPBN, Jerman, Portugal

Artikel Sebelum

Artikel Lain