MENJUARAI Terbuka Kanada hujung minggu baru-baru ini telah membuka laluan kepada bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk berada dalam kelompok ranking 60 pemain terbaik dunia. Sebelum menyertai kejohanan itu, Chong Wei adalah pemain ke-99 dunia. Sejak kembali semula ke sirkit badminton antarabangsa Mei lalu, Chong Wei telah menjuarai Terbuka Amerika Syarikat dan yang terbaru Terbuka Kanada. Dalam tempoh beliau digantung perlawanan kerana kes doping selama lapan bulan, ranking dunia Chong Wei telah merudum ke tahap yang belum pernah dilaluinya sejak bergelar pemain badminton antarabangsa. Chong Wei, 32, adalah pemain nombor satu dunia sejak tiga tahun yang lalu sehinggalah digantung permainan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa. Namun sejak dia kembali ke gelanggang Mei lalu, dia telah bekerja keras untuk kembali ke kedudukan asalnya sebagai pemain nombor satu dunia. Dia memulakan misi untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia dengan menyertai sirkit yang jauh lebih rendah seperti Terbuka AS dan Kanada namun mampu menyumbang mata yang diperlukan. Chong Wei berjaya mencapai sasaran dalam kedua-dua kejohanan itu. Kini langkah seterusnya ialah Terbuka Taiwan yang dijadualkan berlangsung pada 14-19 Julai ini. Namun dia akan menuju ke Taiwan dengan perasaan yang berdebar-debar kerana isterinya Wong Mew Choo dijangka melahirkan anak kedua mereka ketika kejohanan itu berlangsung. "Tapi dia telah memberi restu kepada saya untuk bersaing dalam Terbuka Taiwan," katanya sepertimana yang dipetik oleh akhbar The Star pada Selasa. Terbuka Taiwan akan memberi cabaran yang sebenar kepada Chong Wei kerana ia turut disertai oleh dua orang musuh tradisinya di atas gelanggang iaitu pemain nombor satu dunia kini, Chen Long dan bekas juara dunia, yang juga bekas pemain nombor satu dunia, Lin Dan. Chong Wei juga melihat Terbuka Taiwan sebagai pentas yang dapat menyumbang mata yang diperlukannya untuk melayakkan diri ke kejohanan Siri Super seperti Terbuka Jepun dan Korea Selatan yang bakal berlangsung September nanti. Selepas itu sasarannya ialah Kejohanan Dunia di Jakarta pada 10-16 Ogos.