CONCEPCIN: Kapten Argentina, Lionel Messi mempamerkan persembahan individu terbaik apabila membantu melakar kemenangan 6-1 ke atas Paraguay untuk mara ke perlawanan akhir copa Amerika. Messi mengkucar-kacirkan pertahanan Paraguay semasa Argentina mempamerkan persembahan terbaik mereka untuk bertemu Chile pada perlawanan akhir, Sabtu ini. Walaupun gagal mengakhiri kemarau gol untuk Argentina, Messi mencipta peluang bagi rakan sepasukannya dalam kemenangan besar menentang Paraguay. Dua jaringan dari Angel Di Maria serta gol dari Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero, dan Gonzalo Higuain melengkapkan kemenangan besar bagi pasukan gergasi Amerika Selatan itu. Messi meluahkan rasa puas hatinya terhadap jentera serangan Argentina yang dipenuhi dengan bintang-bintang bertaraf dunia kerana dilihat sudah mampu beraksi dengan lebih baik sebagai satu pasukan. "Kami telah bermain dengan baik dan kami tahu banyak lagi peluang akan tiba apabila berjaya menjaringkan gol pertama. "Kami menjaringkan gol awal, mendapat lebih banyak ruang, dan menjaringkan gol kedua jadi kami meneruskan rentak permainan itu dan berjaya menjaringkan lebih banyak gol," kata Messi selepas menerima anugerah pemain terbaik perlawanan. Argentina yang menduduki tempat kedua pada kejohanan Piala Dunia tahun lalu bertekad untuk memenangi kejuaraan pertama dalam tempoh 22 tahun beraksi di Copa Amerika. "Apa yang penting ialah kami mencapai matlamat pertama iaitu mara ke perlawanan akhir dan sekarang kami perlu memenangi kejuaraan itu," kata Messi lagi.