suria

Farid, Hazlanshah Bakal Beraksi Pada Suzuka 8-Hour

PETALING JAYA: Mohd Farid Badrul Hisham dan Hazlanshah Mohd Noor bakal mencatat sejarah peribadi apabila dijadualkan akan membuat penampilan pertama dalam saingan berprestij Perlumbaan Suzuka 8-Hour Endurance Road Race di Litar Suzuka pada 23 hingga 26 Julai ini.

Duo BikeART Kawasaki Racing itu akan beraksi bersama gandingan pasukan Team Nozuka & Bike ART berikutan pencapaian mempamerkan aksi memberangsangkan pada saingan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dalam kelas SuperSports 600cc pada musim ini.

Pada saingan Suzuka 8-Hour Endurance Road Race ini, Farid akan beraksi dalam kategori 8-Hour bersama Taketo Harada yang baru meraih kejayaan dalam perlumbaan Kejuaraan Suzuka Road Race (JSB1000), baharu ini dan seorang lagi pelumba, Naoki Yamaguchi.

Sementara itu, Hazlanshah akan bergandingan bersama pelumba berusia 19 tahun, Katsuya Matsuzaki di dalam kategori 4-Hour.

Seorang lagi pelumba Kawasaki yang akan membuat penampilan pertama dalam perlumbaan endurance bertaraf dunia itu ialah pelumba Manual Tech KYT Kawasaki, Ahmad Yudhistira yang masih segar dengan kemenangan SuperSports 600cc ARRC di Indonesia.

Yudhistira akan bersama pasukan utama Kawasaki, Team Green dalam kategori 8-Hour bergandingan dengan pelumba legenda Jepun, Akira Yanagawa dan Kazuki Watanabe dengan menggunakan jentera Ninja ZX-10R.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di dalam perlumbaan yang cukup dikenali, Suzuka  8-Hour dan sudah pasti saya berterima kasih kepada Kawasaki dan BikeART kerana memberi peluang dan juga kepercayaan kepada saya.

"Perlumbaan ini akan menjadi satu pengalaman berharga dan tidak dapat dilupakan sepanjang karier saya dan saya percaya kami mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik," jelas Farid.

Perlumbaan Suzuka 8-Hour merupakan perlumbaan tradisional dalam kalendar perlumbaan antarabangsa di Jepun khususnya melibatkan pengeluar-pengeluar motosikal utama dari Jepun.

Perlumbaan ini akan disertai oleh barisan pelumba-pelumba antarabangsa termasuk dari Jepun sendiri dan merupakan antara perlumbaan besar yang dinantikan dalam kalendar sukan permotoran antarabangsa.

Antara pelumba Malaysia yang pernah beraksi dalam perlumbaan ini termasuklah Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Zamri Baba, Zaqhwan Zaidi, Mohd Emir Firdaus Hasan, Sasitharen Sukumaran dan Ahmad Afif Amran.

Suzuka 8-Hour

Artikel Lain