PENGURUS Bayern Munich, Pep Guardiola menolak laporan bahawa dia berminat untuk mendapatkan bintang Manchester United, Angel Di Maria walaupun pemain itu dikatakan akan meninggalkan kelabnya. Pemain antarabangsa Argentina itu yang membantu negaranya mara ke perlawanan akhir Copa Amerika di Chile telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford setelah melalui musim pertama yang sukar di England. Tahun lalu, Paris Saint-Germain dilihat bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bekas pemain Real Madrid itu tetapi Di Maria memilih untuk menyertai United. Kini juara Liga Perancis (Ligue 1) itu mungkin akan membangkitkan semula minat mereka untuk mendapatkan khidmat Di Maria setelah kekangan 'Financial Fair Play'(FFP) yang dikenakan terhadap pasukan itu ditarik balik. Pemain berusia 27 tahun itu juga dikatakan menjadi buruan Bayern Munich yang kini sedang mencari pengganti kepada Frank Ribery dan Arjen Robben. Tetapi Guardiola telah menyangkal laporan tersebut dan berkata dia tidak pernah berbincang untuk mendapatkan Di Maria. "Dia bukanlah pemain yang saya inginkan dan jika saya bercakap apa-apa mengenai Di Maria, Matthias Sammer pasti tahu tentang itu," kata Guardiola.