JAKARTA: Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong malam Rabu mempamerkan persembahan luar biasa apabila menyingkirkan juara bertahan Shin Baek Cheol dan Ko Sung Hyun dari Korea Selatan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Tertutup Istora Senayan di sini. Pada pertarungan selama 31 minit, beregu negara, yang menghuni ranking ke-14 dunia berbanding ranking ketujuh oleh beregu Korea itu, mencapai keputusan 21-12 dan 21-15 untuk melangkah ke pusingan ketiga. Pada saingan hari ini, V Shem/Wee Kiong akan berdepan dengan satu lagi saingan getir apabila dijadual menentang beregu ranking kesembilan dunia, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan dari China. "Kami berjuang habis-habisan dan perlawanan tadi memang susah bagi kami kerana bertemu dengan juara dunia tetapi strategi permainan kami lebih menjadi dalam perlawanan ini dan itu yang membantu kami," kata V Shem selepas perlawanan itu. Beliau berharap untuk mengekalkan momentum kemenangan pada pusingan ketiga sebelum memburu pada peringkat suku akhir. "Kami belum pernah bertemu dengan beregu Korea ini tetapi jika kami dapat mengekalkan rentak seperti tadi, kami percaya kami boleh menang pada perlawanan seterusnya," katanya. Hari ini, dua pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei akan menentang pemain China, Wang Zhengming manakala Zulfadli Zulkifli pula menentang pemain Hong Kong, Wei Nan pada saingan pusingan ketiga. Dalam pada itu, beregu wanita negara, Amelia Alicia dan Soong Fie Cho turut mara ke pusingan ketiga dan akan menentang beregu nombor satu dunia, Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi dari Jepun.