suria

Penunggang Thai Juarai Kejohanan FIM Motocross Asia 2015

KUALA NERUS: Penunggang Thai, Arnon Theplib muncul juara kategori MX2 Asia di Kejohanan FIM Motocross Asia di litar Kompleks Sukan Gong Badak di sini pada Sabtu.

Kejayaan Theplib yang menunggang Honda itu membolehkannya mendapat AS$1,400 serta trofi selepas mengatasi rakan senegaranya, Chaiyan Romphan yang menduduki tempat kedua untuk memenangi AS$1,100 manakala tempat ketiga milik pelumba Australia, Lewis Stewart yang menerima AS$900.

Mohd Habibullah Muhd yang muncul penunggang terbaik negara di kalangan tiga lagi rakan senegaranya, hanya sekadar menduduki tempat kelapan.

Theplib, 27, berkata ini adalah antara tunggangan terbaiknya sepanjang pembabitannya dalam sukan itu dan mengakui cuaca panas turut membantunya menewaskan 30 pelumba lain.

"Ini adalah kejayaan pertama saya selepas hanya menduduki tempat ketiga dalam penyertaan tahun lepas," katanya.

Kejohanan mempertandingkan tujuh kategori termasuk empat dalam kejuaraan Motocross AAM Malaysia, bermula sejak Khamis melibatkan 100 pelumba dari Mongolia, Sri Lanka, Filipina, Thailand, Indonesia, India, Guam, Australia dan Malaysia.

Sementara itu, dalam kategori MX85 Asia, pelumba Indonesia, Ananda Rigi Aditya muncul juara manakala bagi kategori Veteran Asia, Azhary Rateh dari Thailand menewaskan 11 pelumba lain untuk memenanginya.

Arnon Theplib, MX2 Asia

Artikel Lain