suria

Terry Walsh Dilantik Pengarah Teknikal KHM

Subahan Kamal (kanan) bersalaman dengan Terence Arthur Walsh semasa majlis memperkenalkan Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu di Wisma OCM, Sabtu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Seperti yang diduga, Terence Author Walsh atau Terry Walsh dilantik Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai PengarahTeknikal dengan kontrak dua tahun dan pilihan lanjutan dua tahun lagi, berkuatkuasa pada Sabtu.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata Walsh, 61, yang kembali bertugas di negara ini selepas 22 tahun, akan bertanggungjawab untuk menyusun semula sistem yang ada termasuk kejurulatihan, serta pasukan lelaki dan wanita.

"Kami percaya dengan pengalaman luasnya, beliau mampu mengubah sukan hoki Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM di sini, Sabtu.

Terry adalah ketua jurulatih skuad negara dari 1990 hingga 1993 dan beliau membimbing India untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dengan memenangi pingat emas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Subahan juga berkata KHM akan mengumumkan nama ketua jurulatih skuad lelaki negara dalam masa dua minggu lagi. -

Sementara itu, Terry berkata ia adalah peluang terbaiknya untuk mendidik jurulatih mengenai sistem kejurulatihan yang betul.

"Ini adalah cara terbaik untuk membolehkan hoki Malaysia mencapai kejayaan yang lebih tinggi. Saya harap ia akan menjadi tahun yang produktif untuk pasukan negara," katanya.  

Terdahulu, QNET, syarikat jualan langsung Asia, mengumumkan perkongsiannya dengan KHM serta menaja RM1.5 juta untuk pembangunan hoki.

Artikel Berikut

Artikel Lain