> Dia tidak menjaringkan gol dalam lapan perlawanan untuk Manchester United > Kehadirannya gagal memberikan impak dalam perlawanan menentang Aston Villa > Rooney bermain tidak kurang dari 40 perlawanan semusim > Dia juga kelihatan keletihan dan lambat dalam pergerakannya MANCHESTER UNITED baru sahaja mengharungi dua perlawanan awal musim dan mereka setakat ini berjaya memperolehi enam mata penuh daripadanya tetapi ada sesuatu yang amat merunsingkan mengenai kapten mereka, Wayne Rooney - dia kelihatan keletihan dan lambat dalam pergerakan. Malah prestasinya ketika menentang Aston Villa di Villa Park pada Jumaat sangat-sangat merunsingkan. Rooney hanya berupaya melakukan satu sentuhan bola di dalam kawasan penalti sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. Tidak ada tendangan ke arah gol, tidak ada ruang untuk bertindak ke arah sasaran dan tidak ada impakke atas pasukannya. Biasanya situasi seperti ini hanyalah seketika sahaja buat Rooney tetapi lapan perlawanan tanpa gol adalah satu statistik yang membimbangkan. Selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Newcastle pada Krismas tahun lalu, dia tidak menjaringkan sebarang gol sehinggalah 16 Februari 2015. Antara tempoh itu, dia bermain sembilan perlawanan tanpa gol. Pada situasi semasa kini, dia telah bermain lapan perlawanan tanpa menjaringkan gol. Kali terakhir Rooney menjaringkan gol untuk United ialah pada 4 April lalu. Bezanya dulu dengan sekarang ialah, jika dahulu bebanan tersebut dikongsi bersama penyerang-penyerang yang lain seperti Robin van Persie, Dimitar Berbatov, Carlos Tevez dan Cristiano Ronaldo tetapi kini ia adalah tanggungjawabnya seorang. Rooney kini diibaratkan seperti 'one-man show' pada saat dia mengharungi musim ke-14 sebagai pemain pro. Jika dikira dengan perlawanan antarabangsa, semusim dia tidak pernah bermain di bawah 42 perlawanan semusim sejak menjadi pemain profesional sepenuhnya bersama Everton. Menjelang 24 Oktober ini, Rooney akan berusia 30 tahun. Dan bebanan yang terpaksa ditanggungnya pada usia lanjut dalam dunia bolasepak sudah tentunya sangat-sangat berat dan mencabar. Adakah ini satu petanda bermulanya kejatuhan Rooney sebagai seorang penyerang berbisa? Louis van Gaal patut berasa bimbang melainkan ini semua bersifat sementara. Namun ketika menentang Villa, Rooney tidak kelihatan berbisa di hadapan gol tidak sepertimana selalunya. Statistik menunjukkan hanya sekali sepanjang kariernya yang gemilang itu dia berhadapan dengan isu kegersangan gol iaitu pada musim pertamanya bersama Manchester United. Pada musim itu, dia melalui 12 perlawanan tanpa menjaringkan gol iaitu antara 31 Disember 2005 hingga 18 Februari 2006. Tetapi untuk berada dalam situasi begini sekarang adalah sesuatu yang amat membimbangkan - antara lain adalah kerana dia tidak lagi muda untuk dengan pantas kembali cergas dan berupaya menjaringkan gol. Namun ada juga yang menyalahkan Van Gaal kerana meletakkannya pada posisi di belakang penyerang utama dan pada waktu-waktu tertentu bermain sebagai pemain tengah atau sayap. United membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan Juan Mata, Angel di Maria, Memphis Depay, Ashley Young untuk bermain sebagai pemain No.10 dan kini dikatakan Pedro. Pada Jumaat, peranan itu nampaknya diambil alih oleh Adnan Januzaj yang turut menjaringkan gol tunggal dan kemenangan mereka. Van Gaal percaya yang Rooney sebenarnya jauh lebih berkesan sebagai pemain tengah dan bukannya penyerang semulajadi. Tetapi pada masa yang sama dia membawa masuk Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger sebagai tambahan kepada Ander Herrera, Daley Blind dan Michael Carrick. Selepas bermain 663 perlawanan profesional apakah kini Wayne Rooney terasa yang dia terpaksa menanggung beban yang sangat besar sebagai penyerang tunggal United atau hari-hari puncaknya sebagai penyerang yang digeruni telah berakhir? Jika dalam empat perlawanan lagi dia gagal menemui gawang, maka jelaslah apa yang dikhuatiri semua itu adalah nyata dan benar iaitu Wayne Rooney bukan sekadar keletihan tetapi kehabisan tenaga untuk menjaringkan gol - sama sepertimana jet pejuang yang terpaksa ditamatkan khidmat kerana tidak lagi kelihatan laju, gagah dan mengerunkan.