ANDY Murray menamatkan rekod kekalahan lapan kali kepada Novak Djokovic selepas berjaya merangkul trofi Piala Rogers di Montreal pada Isnin. Kejohanan tersebut merupakan salah satu perlawanan utama musim ini yang menyaksikan Murray menundukkan pemain No.1 dunia itu dengan aksi tiga set 6-4 4-6 6-3. Pemain nombor satu British yang kini menduduki ranking kedua dunia gagal menewaskan Djokovic sejak aksi final Wimbledon 2013. "Semua orang mahu melihat saya dan Djokovic bermasam muka dan turut 'memanaskan' kami berdua. "Agak mustahil untuk bermain lebih baik dengan tekanan mental serta fizikal dan apa yang kamu perlu lakukan adalah memberi saingan sebaik mungkin. "Ia bukan mudah kerana dia terlalu bagus, dia pemain nombor satu dunia malah dia tidak pernah tewas sejak Masters Series tahun ini. "Jadi peluang untuk menang terlalu sukar," jelas pemain berusia 28 tahun ini. Sementara itu Djokovic mengakui trofi kejuaraan ini memang layak untuk Murray. "Andy memang layak menjadi pemenang kali ini. "Saya yakin apa yang membuatkan perbezaan permainan kali ini ialah corak servis kami berdua. "Saya tidak melakukan servis dengan baik pada set pertama dan separuh pada set kedua selepas itu," jelas Djokovic. Dalam pada itu, ketika menerima trofi kemenangan Murray turut mengucapkan tahniah kepada jurulatihnya Amelie Mauresmo yang menyambut kelahiran bayi lelaki ketika aksi final berlangsung. Murray (duduk) bersama jurulatihnya Mauresmo ketika sesi latihan sebelum ini.