suria

Ferrari Kekalkan Raikkonen Untuk Musim 2016

Kimi Raikkonen (kiri) bersama rakan sepasukannya dalam Ferrari, Sebastian Vettel.

PASUKAN Formula 1 Ferrari telah membuat keputusan untuk mengekalkan Kimi Raikkonen sebagai rakan sepasukan Sebastian Vettel bagi musim 2016.

Sebelum ini, tersebar spekulasi yang mengatakan pasukan itu akan menguggurkan juara dunia 2007 itu berikutan prestasinya yang tidak konsisten.

Bagaimanapun pada Rabu Ferrari mengumumkan yang mereka kini telah memperbaharui persetujuan teknikal dan perlumbaan dengan Kimi Raikkonen.

Ini bermakna, Valtteri Bottas, pelumba yang selama ini menjadi sasaran Ferrari terpaksa kekal bersama pasukan Williams untuk satu musim lagi.

"Ini adalah satu keputusan yang sangat bermakna kepada saya. Ferrari ibarat satu keluarga yang besar buat saya dan saya ingin menamatkan karier saya di sini," kata Raikkonen.

Pelumba dari Finland itu bergelut dengan prestasi yang tidak begitu memberansangkan musim ini walaupun Ferrari telah muncul dengan kenderaan yang lebih stabil dan kukuh musim ini untuk memberikan saingan yang sengit kepada pesaing utama mereka Mercedes-Petronas.

Presiden Ferrari, Sergio Marchionne pada awal musim ini menegaskan masa depan pelumba berusia 35 tahun itu adalah di tangannya sendiri.

Raikkonen pertama kali berlumba untuk Ferrari dari 2007 hingga 2009 dan menjuarai Formula 1 pada musim pertamanya bersama Ferrari.

Selepas dua musim meninggalkan Formula 1, Raikkonen kembali bersama pasukan Lotus pada 2012 sebelum menyertai semula Ferrari pada 2014.

Pencapaian terbaiknya musim ini ialah mendapat tempat kedua pada GP Bahrain April lalu. 


Artikel Lain