suria

Liga Super: Terengganu Intai Peluang Rampas Tempat Ketiga

KUALA TERENGGANU: Terengganu kini mengintai peluang merampas tempat ketiga Liga Super apabila menentang Pahang dalam aksi penutup tirai liga itu, Sabtu ini.

Selepas dua tempat teratas menjadi rebutan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mengakui sasaran realistik buat pasukannya adalah tempat ketiga.

Menurutnya misi menewaskan Pahang di laman sendiri perlu dilakukan bagi memintas Selangor yang kini menduduki tempat ketiga dengan 36 mata, satu mata diatas Terengganu.

"Tapi untuk meraih kedudukan tersebut (tempat ketiga), kita harus menang kerana selain Selangor, Felda United juga mampu menggugat kedudukan kami kerana mereka hanya dua mata di belakang kami," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Pada masa sama, kata Wan Ahmad Nizam, Terengganu mengharapkan Selangor tewas kepada Perak pada aksi terakhir mereka, bagi mencerah peluang meraih kedudukan tempat ketiga.

"Namun kalau kita tewas Sabtu ini dan Felda United pula melakukan kejutan menewaskan JDT, sudah pasti kami akan berada di belakang mereka pula," katanya.

Wan Ahmad Nizam juga percaya Pahang akan memberi tentangan hebat dalam pertemuan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu kerana masih berpeluang memintas JDT untuk mencul juara liga, jika pencabar mereka itu tewas atau seri.

Sementara itu, penolong jurulatih Terengganu, Ahmad Yusof berjanji anakbuahnya akan memberikan tentangan sengit kepada Pahang.

Namun, menurutnya, beliau perlu menyusun strategi baharu menentang juara tiga piala musim 2014 (Piala FA, Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Malaysia) terutamanya selepas beberapa pemain cedera ketika menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 malam tadi.

"Saya fikir Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kemungkinan antara yang akan terlepas aksi Sabtu ini," katanya selepas pasukannya menundukkan PDRM menerusi gol tunggal Issey Farran Nakajima pada minit ke-81.

Selain itu, katanya beberapa pemain turut menunjukkan tanda keletihan yang memerlukan mereka direhatkan.

Terengganu, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain