KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko hilang keanggotaan dalam Jawankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) jika Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar gagal mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan barisan kepimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sabtu ini. "Seandainya saya kalah jawatan presiden, Malaysia akan hilang wakil dalam IOC. Sebagai individu, saya tiada masalah tetapi bagi Malaysia dan pengaruhnya di dunia, ia tidak baik," kata Tunku Imran kepada Bernama pada Khamis. "IOC mempunyai 115 anggota dan 15 anggota adalah daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) di mana MOM adalah salah satu daripadanya," katanya. Dalam hal ini, katanya, usaha untuk meningkatkan nama Malaysia di persadadunia bukan suatu tugas yang mudah. Menurut peraturan IOC, keanggotaan IOC adalah berdasarkan pemilihan. Keanggotaan diperuntukan khusus untuk atlet dan pemimpin sukan Persekutuan Antarabangsa (IF) dan NOC. Sejak 12 Disember, 1999, jumlah keahlian IOC dihadkan kepada 115 anggota dengan maksimum 70 individu sebagai anggota, 15 atlet aktif, 15 wakil IF dan 15 wakil NOC. Tunku Imran dilantik sebagai anggota IOC pada sesi IOC ke-118 pada Februari 2006 di Turin, Itali. Beliau juga memegang jawatan dalam Suruhanjaya IOC dalam portfolio Sukan dan Undang-Undang (2002-2014), Sukan Untuk Semua (2006-2015) serta Sukan dan Masyarakat Aktif (2015-sehingga usia 70 tahun). Had umur sebagai anggota IOC adalah 70 tahun. Tunku Imran kini berusia 67 tahun. Terdahulu, ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara 'The Nation' terbitan Bernama TV, Tunku Imran menasihatkan kesemua perwakilan membuat keputusan tepat pada pemilihan MOM nanti. "Saya sentiasa meningatkan diri bahawa saya tidak akan bertanding sebarang jawatan apabila menjangkaui usia 70 tahun. Ini adalah salah satu alasan saya dan ini adalah penggal terakhir saya," katanya. Selepas 17 tahun, Tunku Imran, yang menyandang jawatan presiden MOM sejak 1998, akan dicabar buat pertama kali pada pemilihan untuk penggal 2015-2017. Ahli kerabat diraja Negeri Sembilan itu akan dicabar oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor. -Bernama