PEMAIN kelahiran Argentina, Nicolas Otamendi kini sah menjadi milik Manchester City selepas menandatangani kontrak bersama kelab itu selama lima tahun. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kontrak perpindahan Otamendi berjumlah £32 juta (RM206.09 juta). "Saya di sini (Manchester City) untuk memberikan keupayaan terbaik saya dan membantu Manchester City mempertahankan prestasi yang terbaik selama mungkin. "Saya berharap agar dapat memenangi beberapa gelaran," katanya yang akan memakai jersi nombor 30. Kehadiran Otamendi meramaikan lagi pemain skuad kebangsaan Argentina ke Manchester City. Beberapa pemain lain sudah pun berada di Stadium Etihad seperti Sergio Aguero, Martin Demichelis, dan Pablo Zabaleta. Otamendi menjadi pemain ketiga Manchester City di bawah pengurus Manuel Pellegrini pada musim panas ini selepas Jason Denayer dan Raheem Sterling.