suria

Tunku Imran Menang Pemilihan, Kekal Sebagai Presiden MOM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dipilih sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekaligus mengekalkan kedudukannya  pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-34  (AGM) sesi 2015/2017 yang berlangsung di Arena Tan Sri Hamzah, MOM pada Sabtu.

Tunku Imran menerima 63 undian berbanding pencabar tunggal daripada Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (41).

Sebelum ini, Tunku Imran yang memegang jawatan tertinggi badan induk sukan negara  ini sejak tahun 1998 mengakui amat penting baginya memenangi sesi AGM kali ini kerana yang terakhir buatnya.

"Saya selalu memberitahu selepas Sukan Sea 2017 saya tidak mahu lagi memegang jawatan ini kerana sudah tiba masanya orang muda mengambil alih tugas saya. Malah hari ini, saya juga gembira kerana terdapat ramai golongan itu disenaraikan dan yakin mereka akan sukses pada masa hadapan.

"Banyak perkara yang perlu dillaksanakan dan saya mahu lihat kita sama-sama berganding bahu bekerjasama. Pelbagai acara besar yang akan berlangsung dalam tempoh dua tahun akan datang, antaranya sebagai penganjur Sukan Sea 2017.

"Sukan Sea 2017 menjadi keutamaan, dan saya memang berharap untuk terlibat secara langsung,  dan Alhamdullilah secara dasarnya ia tercapai,” jelasnya selepas diumumkan kekal sebagai presiden.

Dalam pada itu, tumpuan juga diberikan kepada perebutan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden yang menyaksikan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berjaya meraih undi majoriti 78, menewaskan penyandang Tan Sri Mohammad Noor Abdul Rahim.

Bagi jawatan naib presiden, anak perdana menteri, Mohd Nazifuddin Mohd Najib  berjaya meraih undian tertinggi daripada sepuluh senarai calon bagi mengisi lima tempat dalam jawatan ini dengan 75 undi, diikuti Datuk Ong Poh Eng (63),  Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin  (54) dan Datuk Zakaria Ahmad.

Manakala satu tempat wakil daripada wanita diisi oleh Datuk Mumtaz Jaafar  apabila menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon wanita Norcigini Norizan Ismail menarik diri.

Sementara itu, Datuk Low Beng Choo yang mendapat lampu hijau daripada Kok Chi sebagai penggantinya, akan berdepan Datuk Danyal Balagopal untuk jawatan setiausaha agung.

Datuk Sieh Kok Chi tidak mempertahankan jawatan Setiausaha Agung yang disandang sejak 1992, dipilih sebagai Penolong Setiausaha Agung (Lelaki) dengan mengetepikan bekas penolongnya, T. Kumar.

Manakala Datuk Low Beng Choo yang mendapat lampu hijau dari Kok Chi untuk pencalonan jawatan setiausaha agung berjaya menerima undian besar (66) berbanding pencabar tunggal, Datuk Danyal Balagopal (38).

Pencalonan bagi kepimpinan baharu MOM dikendalikan panel bebas diketuai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ramesh Chandar Nair.

Seramai 104 orang wakil daripada 35 buah persatuan sukan hadir membuang undi pada AGM kali ini.

MOM, AGM

Artikel Sebelum

Artikel Lain